Pelakon yang terkenal menerusi watak Armel Aisya dalam drama bersiri Rindu Awak 200%, Ayda Jebat mengakui tidak menjangka dan terkejut selepas diumumkan sebagai pemenang kategori utama Top Top MeleTOP (Wanita) di majlis Anugerah Meletop Era (AME 2015) yang berlangsung hujung minggu lalu.
Seperti mana jangkaan ramai, Ayda turut merasakan kategori itu akan dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza yang sebelum itu telah memenangi kategori Bintang Online MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP.
"Ketika pengacara mahu mengumumkan pemenang kategori Top Top MeleTOP (Wanita), saya sempat bermain telefon bimbit kerana tidak merasakan saya akan menang.
"Jadi bila nama saya disebut, saya sangat terkejut. Apa pun saya berterima kasih pada peminat yang bersusah payah mengundi saya sehingga ke tahap ini.
"Menang atau kalah, saya akan kekalkan momentum kerja saya seperti sekarang kerana saya tidak mahu menjadi artis mee segera, yang hilang selepas menyerlah menerusi satu produk," ujar Ayda kepada Sinar Harian. 
Dalam pada itu, pemenang kategori Top Top MeleTOP memenangi wang tunai RM10,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang kategori lain menerima wang tunai sebanyak RM5,000 dan trofi.