Meski sepanjang tahun 2014 pelbagai cerita kurang enak melibatkan Awal Ashaari dan Scha Alyahya, tapi itu tidak memberi kesan kepada populariti yang dicipta pasangan suami isteri ini.  Malah rezeki ibu dan bapa kepada bayi comel, Lara Alana ini terus mencurah apabila kedua-dua mereka masih diberi tempat di dalam industri.
Satu lagi bukti peminat masih sayang dan percaya akan bakat mereka adalah, Awal dan Scha telah dinobatkan sebagai Couple Meletop di Anugerah Meletor Era 2015 yang berlangsung hujung minggu lalu.  Kemenangan Awal dan Scha sekali gus mengetepikan saingan terdekat mereka iaitu Zain dan Che Ta.
"Memang tidak disangka-sangka akan menang sebab saya dan isteri dapat tahu tercalon pun sangat lambat iaitu apabila semua orang kecoh memperkatakan tentang pencalonan tersebut.  Kami tidak dapat hadir sebab masing-masing terikat dengan kerja.  Saya berada di pentas akhir 'Mentor Legend' manakala Scha pula masih berada di Istanbul.
"Melihatkan calon-calon lain, kebanyakannya punya 'branding' tersendiri.  Saya sendiri pun menjangkakan Che Ta dan Zain akan menang, tapi apabila diberitahu menang, syukur alhamdulillah.  Ini adalah rezeki tahun ini sebab tahun lepas kami tidak tercalon langsung.  Kemenangan ini juga satu hadiah buat kami sebab masing-masing mencuba untuk kekalkan nama dalam cabang kerja yang diceburi.  Apabila ada orang mengangkat ke tahap anugerah seperti ini, kami gembira," ujar Awal.
Ditanya adakah kemenangan ini bukti keyakinan perminat terhadap mereka masih ada, jawab Awal;
"Peminat kami bukan minat kami sebagai 'couple', tetapi orang minat saya sebagai Awal begitu juga dengan Scha.  Malah ada juga peminat saya tidak minat Scha begitu juga sebaliknya.  Jadi, peminat kami ni 'mix' yang mana ada yang suka kami sebagai pasangan.  Apabila kami memang dalam kategori ini, apa yang saya boleh katakan masih ada yang suka kami bersama, dan saya berterima kasih dengan mereka."
Tidak setakat itu, Awal dan Scha juga tercalon dalam kategori Pengacara TV Lekaki dan Wanita Popular di ABP2014.